Sunday, July 31, 2011

01 RAMADHAN 1432H

Marhaban Ya Ramadhan, kita ucapkan untuk bulan suci ini kerana mengharapkan agar hati dan jiwaraga kita diasah dan diasuh, dilatih dan ditarbiyyah serta dinaiktaraf dan diiktiraf. Selamat memasuki madrasah Ramadhan ini dan semoga setelah keluar darinya segala dosa-dosa kita diampuni oleh Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik buat kita semua. Demi sesungguhnya “sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah.” Ramadhan Karim dan selamat beribadah dengan penuh keikhlasan buat semua.
Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata: “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya: “Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata: ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke Syurga dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang jika disebut namamu namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’.” (Riwayat Imam Al-Bukhari).

Wednesday, July 27, 2011

KEM KECEMERLANGAN 2011

 7-9 Julai 2011 - Pihak sekolah telah mengadakan 1 program khas iaitu Kem Motivasi Kecemerlangan untuk murid-murid dan kumpulan sasarannya ialah murid tahun 5 dan tahun 6. Matlamat diadakan program ini ialah untuk memberi kesedaran kepada ibubapa supaya mengambil berat tentang kepentingan UPSR kepada anak-anak dan merancang pendidikan yang sesuai buat anak masing-masing. Disamping itu, program ini turut membantu pihak sekolah untuk menjalankan aktiviti kearah kecemerlangan UPSR.

Untuk menjayakan program ini, pihak sekolah telah menjemput 4 orang pegawai dari Kecemerlangan Insan Consultan (KIC) untuk memberikan ceramah dan bimbingan kepada para peserta.


Antara objektif program ini dijalankan ialah untuk:-
  • Membangunkan kesedaran dan motivasi kendiri pelajar dalam pembelajaran
  • Mengupayakan pelajar dalam memikul tanggungjawab pembelajaran
  • Membangunkan tret keunggulan pelajar yang menjadi prasyarat kecemerlangan diri dalam pendidikan dan kehidupan.
  • Membina kemahiran pelajar menggunakan strategi metakognitif dalam pengurusan pembelajaran
  • Membudayakan pembelajaran individu di kalangan pelajar ke arah penghayatan pembelajaran sepanjang hayat.
  • Membantu pelajar dalam penguasaan strategi dan kemahiran belajar berkesan.






Wednesday, July 13, 2011

LARIAN SERENTAK 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA

02 JULAI 2011 - Seramai 63 orang murid bersama guru-guru dan staf sekolah serta jawatankuasa PIBG telah menjayakan program larian serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia.